Jumaat, 24 April 2009

Sindrom Keletihan Kronik


Perkataan segar tidak ada dalam kamusnya.  Begitulah keadaan hidup Susan (bukan nama sebenar).  Orang kata rambut sama hitam, hati lain-lain.  Ini pula tidur sama cukup tapi tidak pernah rasa segar - seolah-olah tidak pernah tidur.  Adakah keadaan sebegitu?  Jawabnya ada. Ini dan lain-lain adalah simptom atau tanda Sindrom Keletihan Kronik (Chronic Fatigue Syndrome) yang sangat-sangat mendatangkan perbezaan pendapat dalam dunia perubatan. Percanggahan dan perbezaan pendapat inilah yang membuat pesakit Sindrom Keletihan Kronik (CFS) sering tidak mendapat rawatan yang sepatutnya. Akhirnya gajah sama gajah bertembung, pelanduk mati ditengah-tengah.  Pengidap penyakit ini akan menghadapi keadaan sebegitu bertahun-tahun lamanya disamping menjalani dan mengharungi cabaran hidup harian yang lain.


Dr. James Wilson di Amerika Syarikat berkata di dalam tulisannya: 

"Walaupun anda sedar sepenuhnya yang anda menghidapi penyakit ini, anda mungkin tidak akan mendapat simpati dan persefahaman dari doktor anda.  Dunia perubatan hanya mengiktiraf penyakit Addison sebagai hypoadrenia."  

Faham?  Hypoadrenia?  Penyakit Addison? Apa tu?  Itulah yang saya katakan.  Secara rasmi dunia perubatan tidak mengiktiraf CFS.  Orang kebanyakkan tidak pernah dengar Hypoadrenia atau Penyakit Addison,  apatah lagi CFS, kalau doktor-doktor sendiri tidak memberi simpati.  Ia ibarat seorang yang diserang penyakit jantung ditengah-tengah khalayak ramai tetapi orang hanya memerhatikan sahaja sambil berkata: "Tidak ada apa-apa... Mimang gitu."  Kalau nak diceritakan mengapa sampai begitu, kenalah cerita pasal paradigma perubatan barat dan itu lagi sekali bukan minat ramai.

Apakah antara tanda-tanda penyakit ini? Antaranya, menurut Dr. Wilson tadi:
  • Sukar sangat bangun pagi: Jam loceng berbunyi tiga kali tetapi kamu masih lagi tidak rasa-rasa segar untuk mengangkat kepala dari bantal.

  • Keletihan berpanjangan yang tidak dapat disegarkan dengan tidur: Walaupun mendapat tidur yang cukup, anda masih rasa letih bila bangun.  Segar adalah perkataan asing bagi pengidap keletihan adrenal (satu lagi nama bagi CFS).

  • Mengidam garam atau makanan yang bergaram: Anda dapati senang sekali menghabiskan sekampit 'chips' atau menambah garam kepada makanan yang sudah cukup masin.

  • Letih tidak bertenaga: Segalanya seolah-olah menjadi berat dilakukan, walaupun aktiviti kegemaran anda sebelum ini.  Sering juga, perbuatan kecil seperti bangun dari kerusi menjadi satu kerja keras.

  • Perlu banyak tenaga untuk melakukan kerja-kerja biasa:  Kesemuanya memerlukan tenaga sepuluh kali ganda dari sebelumnya.

  • Nafsu seks yang berkurangan:  Makhluk yang paling seksi mungkin sedang  menunggu anda tetapi anda seolah-olah tidak melihatnya.  Siapa yang kisah tentang seks bila hendak angkat kepala sahaja tidak larat.

  • Kebolehan yang berkurangan untuk menangani stress:  Perkara-perkara remeh yang tidak pernah anda kisah tiba-tiba sahaja boleh mendatangkan ketegangan.  Senang rasa marah di jalanraya waktu memandu, tiba-tiba senang rasa baran dengan kerenah anak, makan keterlaluan, merokok berlebihan atau pun salah gunakan dadah adalah antara tanda-tanda yang kelenjar adrenal anda meminta tolong (antara sebab CFS adalah kelenjar adrenal yang hampir tidak berdaya tahan atas faktor-faktor tertentu).

  • Memerlukan masa yang lebih untuk pulih dari penyakit, kecederaan atau trauma:  Selsema yang anda dapat di bulan Oktober masih lagi bertahan sampai November.  Luka di jari anda mengambil masa seminggu untuk pulih.  Dua tahun selepas ayah anda meninggal anda masih lagi dihantui rasa hiba.

  • Merasa pitam bila bangun tiba-tiba dari duduk atau baring.

  • Kemurungan ringan.  Kenapa hendak ambil peduli langsung, semuanya seolah-olah tiada tujuan.

  • Kurang bahagia atau keceriaan dalam hidup.  Tidak banyak perkara yang dapat mendatangkan minat anda lagi.  Pekerjaan atau perhubungan rasa kosong dan anda hampir tidak melakukan apa-apa hanya untuk suka-suka.

  • Sindrom Selepas Haid (PMS) yang berlebihan.  Anda rasa senak, letih, rimas, perut tegang dan mengidam coklat - adakah yang lebih dahsyat dari itu?

  • Simptom-simptom di atas ini anda rasa lebih ketara bila anda kurang atau tidak makan.  Anda terpaksa memacu diri anda dengan cemelan, kola dan kopi hanya untuk mengelakkan diri dari rebah.

  • Anda tidak boleh tumpukan perhatian and fikiran anda kabur.  Anda senang putus konsentrasi dan merasa semakin susah untuk membuat keputusan walaupun untuk perkara-perkara kecil seperti baju apa hendak dipakai.

  • Daya ingat yang tumpul.  Anda terlalu pelupa.

  • Senang marah.  Peliknya manusia disekeliling anda seperti lebih senang menaikkan rasa marah dari dulu.

  • Anda belum benar-benar sedar dari tidur sehingga pukul 10.00 pagi.

  • Anda rasa terlalu letih terutama antara jam 3.00 dan 4.00 petang.  Antara 3.00 dan 4.00 petang, anda terasa seolah-olah menelan berbiji-biji pil tidur.

  • Anda rasa lebih bertenaga sedikit setelah makan malam.  Selepas jam 6.00 petang dan makan malam, anda rasa bertenaga sikit dari masa-masa lain.

  • Produktiviti berkurangan.  Anda mengambil masa lebih lama untuk menghabiskan sesuatu kerja dan lebih sukar untuk menumpukan perhatian kepada kerja itu hingga selesai.