Ahad, 26 April 2009

Apa Kena Mengena Dengan Makanan?


Pada salah sebuah artikel yang lalu, saya telah menulis pasal "Sindrom Keletihan Kronik".  Ada yang menanyakan apa kena-mengena sindrom itu (CFS, pendeknya) dengan makanan?  Satu soalan yang baik.  Sebenarnya, apa tidak kena-mengenanya berbagai macam benda yang bersangkutan dengan tubuh badan kita dengan makanan.  Makanan adalah bahan binaan dan 'maintainance' untuk tubuh badan.  Begitu juga jentera-jentera yang bersagkut-paut dengan memproseskan makanan - mulut, lidah, tekak, perut, usus besar dan kecil, air liur dan seterusnya darah dan lain-lain.

Kebetulan pula, CFS bersangkut-paut dengan makanan secara rapat.  Menurut Blake Graham, seorang pakar pemakanan, salah satu protokol pemulihan adalah dari sudut pemakanan. Katanya:

Those with CFS typically become very sensitive to the effects of different foods and need to go through a process of trial and error to determine which foods are most suitable for themselves and which foods exacerbate their symptoms.

Terjemahannya:
Mereka yang menghidap CFS biasanya jadi sensitif kepada jenis-jenis makanan yang berbeza dan perlu menjalani process percubaan untuk menetapkan makanan yang sesuai untuk diri mereka dan yang mana satu memburukkan lagi simptom mereka.

Ini salah satu faktor yang melecehkan dan menyebabkan percanggahan mengenai CFS.  Ada yang mengatakan ia hanyalah alahan kepada makanan diganding dengan gaya hidup yang tidak sesuai bagi orang itu jadi tak perlu dipanggil CFS.  Apapun, inilah gambaran kait-rapatnya makanan dengan tubuh kita.

Jumaat, 24 April 2009

Sindrom Keletihan Kronik


Perkataan segar tidak ada dalam kamusnya.  Begitulah keadaan hidup Susan (bukan nama sebenar).  Orang kata rambut sama hitam, hati lain-lain.  Ini pula tidur sama cukup tapi tidak pernah rasa segar - seolah-olah tidak pernah tidur.  Adakah keadaan sebegitu?  Jawabnya ada. Ini dan lain-lain adalah simptom atau tanda Sindrom Keletihan Kronik (Chronic Fatigue Syndrome) yang sangat-sangat mendatangkan perbezaan pendapat dalam dunia perubatan. Percanggahan dan perbezaan pendapat inilah yang membuat pesakit Sindrom Keletihan Kronik (CFS) sering tidak mendapat rawatan yang sepatutnya. Akhirnya gajah sama gajah bertembung, pelanduk mati ditengah-tengah.  Pengidap penyakit ini akan menghadapi keadaan sebegitu bertahun-tahun lamanya disamping menjalani dan mengharungi cabaran hidup harian yang lain.


Dr. James Wilson di Amerika Syarikat berkata di dalam tulisannya: 

"Walaupun anda sedar sepenuhnya yang anda menghidapi penyakit ini, anda mungkin tidak akan mendapat simpati dan persefahaman dari doktor anda.  Dunia perubatan hanya mengiktiraf penyakit Addison sebagai hypoadrenia."  

Faham?  Hypoadrenia?  Penyakit Addison? Apa tu?  Itulah yang saya katakan.  Secara rasmi dunia perubatan tidak mengiktiraf CFS.  Orang kebanyakkan tidak pernah dengar Hypoadrenia atau Penyakit Addison,  apatah lagi CFS, kalau doktor-doktor sendiri tidak memberi simpati.  Ia ibarat seorang yang diserang penyakit jantung ditengah-tengah khalayak ramai tetapi orang hanya memerhatikan sahaja sambil berkata: "Tidak ada apa-apa... Mimang gitu."  Kalau nak diceritakan mengapa sampai begitu, kenalah cerita pasal paradigma perubatan barat dan itu lagi sekali bukan minat ramai.

Apakah antara tanda-tanda penyakit ini? Antaranya, menurut Dr. Wilson tadi:
  • Sukar sangat bangun pagi: Jam loceng berbunyi tiga kali tetapi kamu masih lagi tidak rasa-rasa segar untuk mengangkat kepala dari bantal.

  • Keletihan berpanjangan yang tidak dapat disegarkan dengan tidur: Walaupun mendapat tidur yang cukup, anda masih rasa letih bila bangun.  Segar adalah perkataan asing bagi pengidap keletihan adrenal (satu lagi nama bagi CFS).

  • Mengidam garam atau makanan yang bergaram: Anda dapati senang sekali menghabiskan sekampit 'chips' atau menambah garam kepada makanan yang sudah cukup masin.

  • Letih tidak bertenaga: Segalanya seolah-olah menjadi berat dilakukan, walaupun aktiviti kegemaran anda sebelum ini.  Sering juga, perbuatan kecil seperti bangun dari kerusi menjadi satu kerja keras.

  • Perlu banyak tenaga untuk melakukan kerja-kerja biasa:  Kesemuanya memerlukan tenaga sepuluh kali ganda dari sebelumnya.

  • Nafsu seks yang berkurangan:  Makhluk yang paling seksi mungkin sedang  menunggu anda tetapi anda seolah-olah tidak melihatnya.  Siapa yang kisah tentang seks bila hendak angkat kepala sahaja tidak larat.

  • Kebolehan yang berkurangan untuk menangani stress:  Perkara-perkara remeh yang tidak pernah anda kisah tiba-tiba sahaja boleh mendatangkan ketegangan.  Senang rasa marah di jalanraya waktu memandu, tiba-tiba senang rasa baran dengan kerenah anak, makan keterlaluan, merokok berlebihan atau pun salah gunakan dadah adalah antara tanda-tanda yang kelenjar adrenal anda meminta tolong (antara sebab CFS adalah kelenjar adrenal yang hampir tidak berdaya tahan atas faktor-faktor tertentu).

  • Memerlukan masa yang lebih untuk pulih dari penyakit, kecederaan atau trauma:  Selsema yang anda dapat di bulan Oktober masih lagi bertahan sampai November.  Luka di jari anda mengambil masa seminggu untuk pulih.  Dua tahun selepas ayah anda meninggal anda masih lagi dihantui rasa hiba.

  • Merasa pitam bila bangun tiba-tiba dari duduk atau baring.

  • Kemurungan ringan.  Kenapa hendak ambil peduli langsung, semuanya seolah-olah tiada tujuan.

  • Kurang bahagia atau keceriaan dalam hidup.  Tidak banyak perkara yang dapat mendatangkan minat anda lagi.  Pekerjaan atau perhubungan rasa kosong dan anda hampir tidak melakukan apa-apa hanya untuk suka-suka.

  • Sindrom Selepas Haid (PMS) yang berlebihan.  Anda rasa senak, letih, rimas, perut tegang dan mengidam coklat - adakah yang lebih dahsyat dari itu?

  • Simptom-simptom di atas ini anda rasa lebih ketara bila anda kurang atau tidak makan.  Anda terpaksa memacu diri anda dengan cemelan, kola dan kopi hanya untuk mengelakkan diri dari rebah.

  • Anda tidak boleh tumpukan perhatian and fikiran anda kabur.  Anda senang putus konsentrasi dan merasa semakin susah untuk membuat keputusan walaupun untuk perkara-perkara kecil seperti baju apa hendak dipakai.

  • Daya ingat yang tumpul.  Anda terlalu pelupa.

  • Senang marah.  Peliknya manusia disekeliling anda seperti lebih senang menaikkan rasa marah dari dulu.

  • Anda belum benar-benar sedar dari tidur sehingga pukul 10.00 pagi.

  • Anda rasa terlalu letih terutama antara jam 3.00 dan 4.00 petang.  Antara 3.00 dan 4.00 petang, anda terasa seolah-olah menelan berbiji-biji pil tidur.

  • Anda rasa lebih bertenaga sedikit setelah makan malam.  Selepas jam 6.00 petang dan makan malam, anda rasa bertenaga sikit dari masa-masa lain.

  • Produktiviti berkurangan.  Anda mengambil masa lebih lama untuk menghabiskan sesuatu kerja dan lebih sukar untuk menumpukan perhatian kepada kerja itu hingga selesai.

Khamis, 23 April 2009

Cakap Pasal Pantang


Kenapa pesakit ada pantang dalam pemakanan?  Dan kenapa kadang-kadang pesakit perlu makan sesuatu jenis makanan itu dengan lebih?  Bayangan jawapannya ada pada satu perkataan yang pernah di bincangkan dalam aritkel Jangan Asal Boleh.  Perkataan itu adalah: seimbang.  Pakar perubatan holistic sering mengatakan kita sihat bila keadaan kita seimbang.  Contoh yang termudah bila kita bandingkan jasmani kita dengan sebuah bangunan.


Berapa banyak simen tambahan yang diperlukan oleh bangunan yang, contohnya, baru siap tahun lalu?  Jawapannya - tidap perlu!  Kerana ia masih baru dan utuh.  Berapa banyak simen diperlukan oleh bangunan yang, misalnya, dinding-dindingnya telah rapuh?  Jawabnya - saya tak tahu nak kira, tapi walhasil, ia akan memerlukan bekalan simen kerana ia perlu diperbaiki.  Bangunan sama bangunan tetapi kerperluannya pada simen berbeza-beza.

Makanan adalah bahan binaan untuk badan.  Jika badan kita rosak (berpenyakit) maka kadang-kadang kita perlu makan lebih sesuatu jenis makanan itu kerana itu yang diperlukan untuk 'tampal lobang'.   Begitu juga, kadang-kala kita perlu elakkan dahulu sesuatu jenis makanan. Ini kerana, jika penyakit itu disebabkan oleh sesetengah kuman atau yeast, adakalanya sesebuah jenis makanan itu juga boleh menyuburkan kuman atau yeast tersebut - ingat, mereka juga benda hidup dan perlu pada zat untuk terus subur.  Orang yang sihat tak perlu lebih-lebih makan sesuatu kerana sistemnya sudah seimbang.  Orang sakit perlu lebih 'simen' untuk 'tampal lobang' dan kembalikan sistemnya kepada keseimbangan.

Isnin, 20 April 2009

Nak Makan Apa?


Apakah bezanya hidangan dan makanan?

Bila saya ditanya bagaimana cara untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan saya kata kurangkan makan nasi atau makan selain nasi.  Hampir setiap kali saya ditanya kembali: "Kalau gitu nak makan apa?"  Kenapa agaknya kita sering buntu jika tidak mendapati nasi?  Salah satu sebab, sebagai orang Asia dan khususnya rumpun Melayu, kita rasa 'kurang kenyang' jika tidak makan nasi.  Mungkin saya akan cakap pasal topik kenyang pada masa akan datang.  Tapi perihal nasi ini, ada lagi satu sebab.  Sebab yang kedua adalah - lain-lain makanan dikira sebagai mengiringi nasi.  Tanpa nasi, lain-lain hidangan tiada konteks.

Perhatikan - saya tukuar dari menggunakan perkataan makanan kepada perkataan hidangan.  Apa yang ada disekeliling nasi?  Jawabnya - lauk.  Lauk tu apa? Jawabnya - hidangan.  Ini konsep yang kita anggap biasa tetapi ia sebenarnya membuat kita susah untuk lebih fleksibel.  Apa konsep itu? Konsepnya - sesuatu itu tidak dianggap makanan kalau ia bukan hidangan.  Tanpa nama hidangan, kita jadi buntu - rendang, lontong, asam pedas, gulai, lemak cili api dan lain-lain.  Kalau saya rebus daging, cecah kicap dan makan, adakan itu makanan?  Jawabnya - ya.  Tapi ia bukan satu hidangan yang bernama, jadi kita rasa pelik makan begitu saja walaupun rasanya ok.  Jadi, hakikatnya ini - kita perlu makanan untuk hidup.  Kita tak perlu hidangan dan kita tak perlu lauk.  Tanpa nasi, ada seribu satu jenis makanan lagi.   Lauk tanpa nasi - adakah itu makanan?  Jawabnya - ya.  Jadi kalau kita makan lauk sahaja, kita tetap sudah dianggap makan - tiada kurangnya atau tidak ada yang kurang sempurna.  Cuma rasa pelik kerana kita tidak biasa dan kita telah secara tidak sedar menyamakan hidangan dengan makanan.  Rasa pelik tidak bererti satu perkara yang salah atau patut dijauhi.  Setiap benda yang kita baru tahu itu rasanya pelik.  Hidangan itu adalah makanan tetapi makanan tidak semestinya berupa hidangan.  Kita perlu makanan untuk hidup sihat, kita tidak perlu hidangan.

Ahad, 5 April 2009

Botol Bekas Air Mineral Tak Selamat Diguna Semula?


Kebelankangan ini banyak desas desus yg kita dengar pasal botol plastik air meneral. Ada yang mengatakan ia tidak selamat digunakan semula. Benar kah? Jawapannya tidak semudah 'Ya' atau 'Tidak'.

Sebelum itu, tahukah anda, botol plastik yang digunakan diluar sana ada berbagai-bagai jenis. Yang  biasa digunakan untuk air mineral atau air suling disebut botol PET atau nombor 1.  Kalau anda hendak tahu jenis apakah yang sedang anda pegang itu, lihat di bahagian bawah pada numbor yang tertera didalam bentuk empat persegi seperti ini:



Nombor itu menandakan jenis plastik yang digunakan.

Berbalik kepas soalan selamat atau tidak digunakan semula, kerisauan ini ada dua sudut:

  1. Botol yang diguna semula biasanya penuh dengan bakteria.
  2. Kimia pada plastik botol yang diguna semula lolos dari dinding dan bercampur dengan isi botol itu.  Kimia itu dapat menyebabkan barah.
Untuk kerisauan yang pertama itu, memang banyak kajian yang membenarkannya.  Tetapi ia disebabkan oleh kecuaian dalam menjaga kebersihan.  Botol itu harus dicuci dan dikeringkan dengan baik.  Elakkan juga dari memdedahkan botol itu kepada panas yang keterlaluan hingga dapat mejejas plastiknya.

Untuk kerisauan yang kedua, ianya penuh dengan kontroversi dan kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan.  Namun sebagai langkah berjaga-jaga, kita dapat simpulkan:
  1. Jika tidak perlu, jangan gunakan semula botol itu.
  2. Jika mahu dimanfaatkan, sebaiknya jangan gunakan semula sebagai bekas minuman, makanan atau benda-benda yang kita gunakan pada badan seperti losyen. Pastikan ia dari jenis plastik 1, 2, 4 dan 5.
  3. Jika mahu juga digunakan semula sebagai bekas minuman, bersihkan ia dengan betul setiap kali dicuci, jangan biarkan air itu didalam lebih dari beberapa hari dan jangan gunakan semula sampai seminggu lamanya. Pastikan ia dari jenis plastik 1, 2, 4 dan 5.
Dengan menggunakan panduan-panduan ini, kita dapat mengelakkan dari membahayakan diri. Ingat, ia bukan sebagai satu kepastian yang 100% tapi sebagai langkah berjaga-jaga.  Untuk mendapat penjelasan yang lebih rasmi, anda boleh menanyakan badan-badan kesihatan di negeri atau negara anda tentang pendirian mereka.

Rabu, 1 April 2009

Jangan Asal Boleh


Walaupun saya katakan yang segala makanan pada umumnya tidak membahayakan kesihatan, kita tidak harus makan semuanya sesuka hati. Sebabnya? Selama ini kita telah asal makan jadi mungkin badan kita kekurangan sesetengah zat. Maksud saya disini kita tidak tahu bagaimana mengimbangi. Jadi badan kita kekurangan sesetengah zat lantas kita alami kerosakkan dalaman yang mungkin sudah pun menyebabkan penyakit. Bila penyakit telah timbul, kita perlu elakkan sesetengah makanan dahulu. Bila penyakit itu beransur pulih, baru kita boleh cuba mengimbangi semula. Saya tak kata makan semula tetapi mengimbangi semula. Ingat, pada artikel lalu saya katakan segala makanan pada umumnya tidak membahayakan jika dimakan dengan SEDERHANA dan DIIMBANGI.

Kita perlu protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan zat-zat lain dengan IMBANGAN bukan dengan BANYAK. Macam mana nak imbangkan? Banyak brosur-brosur, buku-buku dan lelaman Internet yang melampirkan prinsip-prinsip pemakanan yang seimbang. Ianya sudah diketahui ramai sebenarnya cuma mungkin kita sahaja yang nak dengarkan yang lain dan sesuai dengan tekak kita. Maaf tapi tak semua yang bagus itu kena pada tekak. Jika anda ada kondisi tertentu seperti penyakit atau masalah lemak badan yang lebih, dapatkan nasihat pakar dahulu tentang apa yang harus anda elak. Bila sudah 'pulihkan' keadaan anda, baru anda boleh cuba imbangi semula pemakanan anda dengan memakan berbagai jenis makanan dengan nasihat dan pantauan pakar.