Sabtu, 14 November 2009

Terapi Air


Terapi air yang termudah memang mudah dibuat. Sebaik-baiknya anda gunakan paip hujan dan pemanas air sebab anda perlu air panas dan air suhu biasa. Terapi ini biasa digunakan untuk menyegarkan badan. Caranya:


  1. Mandi dengan menggunakan air panas selama sekurang-kurangnya lima minit atau sepertimana biasa lamanya anda mandi.

  2. Sebelum habis, bilas dengan air suhu biasa selama 2-3 minit, atau seminit jika anda mengejar masa.
Inilah cara yang termudah, tidak perlu banyak masa dan perkakas. Cara yang lengkap memerlukan anda lat-lat antara air panas dan sejuk selama mana anda mandi dan sesuai jika anda mempunyai masa. Jika anda tidak mempunyai paip hujan, mandi seperti biasa dengan menggunakan cedok.

Tambahan kepada cara di atas
  • Air yang deras dan lubang paip hujan yang agak besar sedikit sebenarnya memberi kesan yang lebih. Kerana aksi deras air itu memberi kesan seperti jarum-jarum tabib Cina dengan rawatan acupuncture mereka. Ia juga beraksi seperti tangan tukang urut yang menekan-nekan bahagian badan. Air yang mengalir lebih memberi kesan merehatkan bukan menyegarkan, tapi pertukaran suhu antara sejuk dan panas ada kesan menyegarkan. Apa pun yang anda lakukan, anda harus akhiri mandian itu dengan air suhu biasa selama sekurang-kurangnya 1-2 minit.

  • Gunakan sabun atau fom mandi berkualiti yang berbau segar seperti limau, limau kasturi, lemon dan seumpama itu. Jangan gunakan bau-bauan yang merehatkan seperti lavendar kerana ini akan membuat kita relaks bukan tambahkan tenaga. Ini sebenarnya gandingan terapi air dan terapi bau-bauan (aromatherapy).

  • Jika boleh, gosok atau usap badan sewaktu anda gunakan syampu atau sabun. Sama ada anda gosok dengan perlahan atau kasar, tergantung kepada mana yang anda rasa lebih berkesan. Jangan lupa juga picit otot-otot anda terutama bahagian atas badan, tangan dan kepala. Lagi sekali, kasar atau lembut picitan itu tergantung kepada mana yang anda rasa berkesan. Ada orang terasa berkesan hanya dengan mengudap-usap. Ada yang memegang bahagian itu sambil menggegarkannya laju-laju (vibrate). Tidak kurang pula yang menggeliat seperti kucing yang baru jaga tidur kerana ini merenggangkan otot. Ini sebenarnya menggandingkan terapi air dan terapi urut. Jangan hairan jika kesegaran yang kita rasa selepas bersabun sebenarnya datang dari aksi menyabun itu sendiri kerana tanpa disedari kita mengurut dan mengaktivasikan kawasan-kawasan meridian yang tabib Cina gunakan dalam perubatan cocok jarum mereka (acupuncture). Ya, usap juga dikira urut. Perkataan Inggeris, massage, datang dari perkataan Arab masaha yang membawa erti sentuh, usap atau sapu (minyak).

Dengan menggunakan prinsip-prinsip diatas ini, jangan segan-segan mencuba dan mendapatkan kaedah terapi air yang sesuai dengan badan anda. Sebelum mengakhiri, pakar terapi air yang mapan dengan kaedah ini sebenarnya boleh membantu melegakan penyakit-penyakit dengan terapi air. Ia bukan sahaja untuk menyegarkan badan. Antara perkara-perkara yang boleh diredakan dengan gandingan terapi air adalah salah urat, kecederaan-kecederaan otot semasa bersukan dan sakit-sakit belakang. Yang penting, diagnosis doktor perlu didapatkan dahulu dan pakar terapi air yang berilmu atau berpengalaman dapat menggunakan diagnosis ini untuk menentukan kesesuaian penyakit itu menjalani terapi sokongan ini.

Selamat mencuba!

Air dan Terapi Air


Air boleh menyegarkan dan boleh meracuni... dan yang saya maksudkan bukan air apa-apa tapi air jarang biasa. Dalam istilah perubatan moden atau mainstream ada sesuatu yang dipanggil water intoxication dan tidak lama dulu ada seorang wanita yang manjadi buta akibat terlalu banyak minum air jarang biasa.


Dalam Islam, mengambil wudhu' itu mesti menggunakan air sebenar-benar air (mutlak). Tayamum hanya dapat dibuat jika air itu cukup-cukup untuk diminum atau ketiadaan air. Apa kaitan air dengan hadas? Sedangkan hadas itu kotoran maknawi (tidak dapat dilihat) dan air itu benda fizikal? Masuk akal kah kotoran maknawi dibersihkan dengan benda fizikal? Apa pula kena-mengena air dan bunga dengan gangguan makhluk ghaib (mandi bunga)?

Apa tujuan saya menyatakan semua ini? Tujuan saya adalah untuk memberi gambaran bahawa air itu multi-use (serbaguna). Ia seperti kain. Kain bukan hanya boleh dibuat pakaian bahkan macam-macam guna. Ia adalah bahan dan bukan sahaja boleh digunakan sebagai end-product seperti diminum. Inilah yang difahami oleh pakar perubatan sokongan (complimentary medicine) mengenai air sebab itu banyak spa dan pengubat-pengubat sokongan (complimentary medicine practitioners) gunakan air. Pernahkan anda dengar mengenai pisau air? Air digunakan untuk membelah besi dikilang besi. Bagaimana pula dengan kapal gergasi yang patah dua bila karam dek tekanan air? Ada beberapa sudut mengenai air yang kita kurang perhatikan yaitu kederasannya dan suhunya. Air memberi kesan yang berbeza pada kederasan dan suhu yang beza. Apa guna kita sedar tentang ini semua? Jika kita lebih kenal tentang air, kita dapat meraih manfaat darinya jauh lebih dari penggunaan harian kita sekarang. Dengan kesedaran inilah, saya akan tulis mengenai terapi air pada artikel akan datang.