Sabtu, 14 November 2009

Terapi Air


Terapi air yang termudah memang mudah dibuat. Sebaik-baiknya anda gunakan paip hujan dan pemanas air sebab anda perlu air panas dan air suhu biasa. Terapi ini biasa digunakan untuk menyegarkan badan. Caranya:


  1. Mandi dengan menggunakan air panas selama sekurang-kurangnya lima minit atau sepertimana biasa lamanya anda mandi.

  2. Sebelum habis, bilas dengan air suhu biasa selama 2-3 minit, atau seminit jika anda mengejar masa.
Inilah cara yang termudah, tidak perlu banyak masa dan perkakas. Cara yang lengkap memerlukan anda lat-lat antara air panas dan sejuk selama mana anda mandi dan sesuai jika anda mempunyai masa. Jika anda tidak mempunyai paip hujan, mandi seperti biasa dengan menggunakan cedok.

Tambahan kepada cara di atas
  • Air yang deras dan lubang paip hujan yang agak besar sedikit sebenarnya memberi kesan yang lebih. Kerana aksi deras air itu memberi kesan seperti jarum-jarum tabib Cina dengan rawatan acupuncture mereka. Ia juga beraksi seperti tangan tukang urut yang menekan-nekan bahagian badan. Air yang mengalir lebih memberi kesan merehatkan bukan menyegarkan, tapi pertukaran suhu antara sejuk dan panas ada kesan menyegarkan. Apa pun yang anda lakukan, anda harus akhiri mandian itu dengan air suhu biasa selama sekurang-kurangnya 1-2 minit.

  • Gunakan sabun atau fom mandi berkualiti yang berbau segar seperti limau, limau kasturi, lemon dan seumpama itu. Jangan gunakan bau-bauan yang merehatkan seperti lavendar kerana ini akan membuat kita relaks bukan tambahkan tenaga. Ini sebenarnya gandingan terapi air dan terapi bau-bauan (aromatherapy).

  • Jika boleh, gosok atau usap badan sewaktu anda gunakan syampu atau sabun. Sama ada anda gosok dengan perlahan atau kasar, tergantung kepada mana yang anda rasa lebih berkesan. Jangan lupa juga picit otot-otot anda terutama bahagian atas badan, tangan dan kepala. Lagi sekali, kasar atau lembut picitan itu tergantung kepada mana yang anda rasa berkesan. Ada orang terasa berkesan hanya dengan mengudap-usap. Ada yang memegang bahagian itu sambil menggegarkannya laju-laju (vibrate). Tidak kurang pula yang menggeliat seperti kucing yang baru jaga tidur kerana ini merenggangkan otot. Ini sebenarnya menggandingkan terapi air dan terapi urut. Jangan hairan jika kesegaran yang kita rasa selepas bersabun sebenarnya datang dari aksi menyabun itu sendiri kerana tanpa disedari kita mengurut dan mengaktivasikan kawasan-kawasan meridian yang tabib Cina gunakan dalam perubatan cocok jarum mereka (acupuncture). Ya, usap juga dikira urut. Perkataan Inggeris, massage, datang dari perkataan Arab masaha yang membawa erti sentuh, usap atau sapu (minyak).

Dengan menggunakan prinsip-prinsip diatas ini, jangan segan-segan mencuba dan mendapatkan kaedah terapi air yang sesuai dengan badan anda. Sebelum mengakhiri, pakar terapi air yang mapan dengan kaedah ini sebenarnya boleh membantu melegakan penyakit-penyakit dengan terapi air. Ia bukan sahaja untuk menyegarkan badan. Antara perkara-perkara yang boleh diredakan dengan gandingan terapi air adalah salah urat, kecederaan-kecederaan otot semasa bersukan dan sakit-sakit belakang. Yang penting, diagnosis doktor perlu didapatkan dahulu dan pakar terapi air yang berilmu atau berpengalaman dapat menggunakan diagnosis ini untuk menentukan kesesuaian penyakit itu menjalani terapi sokongan ini.

Selamat mencuba!

0 komentar: